Image

Taman Herba INTAN

Taman Herba Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah diwujudkan bagi menyambut ulang tahun penubuhan INTAN yang ke-60 pada tahun 2019. Sambutan INTAN 60 Tahun ini diraikan oleh Kampus Utama Bukit Kiara dan semua Kampus Wilayah INTAN melalui penganjuran pelbagai aktiviti road-to-diamond-jubilee sepanjang Januari – September 2019. Tujuan Sambutan INTAN 60 Tahun adalah bagi mengenang semula kegemilangan dan kecemerlangan pencapaian INTAN dalam membentuk penjawat awam yang berkredibiliti dan berdaya saing seterusnya memacu pentadbiran negara.

Majlis Pelancaran Taman Herba ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Dr. Ismail bin Hj. Bakar pada 3 September 2019. YBhg. Tan Sri KSN bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Borhan Bin Dolah dan Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBrs. Dr. Mohd Bakhari bin Ismail telah menanam pokok durian belanda (Annona muricata) pada Majlis Perasmian Sambutan INTAN 60 Tahun di Bukit Kiara.

Terdapat lebih 60 spesis tanaman herba ditempatkan di Taman Herba INTAN hasil kerjasama antara INTAN dengan Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Di antaranya ialah pokok bangun-bangun, beluntas, cekur, ekor kucing, ganda rusa, gambir Sarawak, keladi murai, misai kucing putih, pecah kaca dan tongkat ali.

Taman ini dibangunkan bertujuan untuk memelihara spesis herba yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan pemakanan yang sihat dan rawatan kesihatan alternatif secara tradisional. Di samping itu, ia juga berperanan memberi pendidikan dan pengetahuan kepada pengunjung taman berkenaan tumbuhan herba. Bagi tujuan tersebut, laman sesawang ini dibangunkan untuk menyatakan nama saintifik, kegunaan, habitat dan kebaikan spesis tanaman herba, rempah ratus dan tumbuhan beraroma yang terdapat di Taman Herba INTAN.


This image for Image Layouts addon
Majlis Pelancaran Taman Herba ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Dr. Ismail bin Hj. Bakar pada 3 September 2019.

Hubungi Kami

Jumlah Pelawat

Hari Ini : 2

Bulan Ini : 417

Keseluruhan : 4032